Info Seni dan Budaya

Kebudayaan Secara Umum

Dalam pengertian yang paling umum, kebudayaan merupakan seluruh cara hidup sesuatu masyarakat atau seluruh aspek pemikiran dan tingkahlaku manusia yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain melalui proses pembelajaran.

Tetapi dalam pertuturan sehari-hari, kebanyakan daripada kita membuat pengertian kebudayaan atau mengaitkan dengan fenomena-fenomena seperti bentuk tarian dan muzik, makanan, fesyen pakaian sahaja. Jadi pengertian di sini adalah terlalu sempit dan terhad. Tetapi bagi ahli sains sosial, pengertian kepada konsep kebudayaan ini lebih luas.
s
Dari perspektif sosiologi kebudayaan membawa pengertian segala hasil dan idea yang dipelajari dan dikongsi oleh ahli-ahli dalam sebuah masyarakat. Ini termasuklah segala kepercayaan, nilai-nilai politik, adat resam, undang-undang, moral, institusi sosial, seni lukis, bahasa dan bahan-bahan material.
s
Edward B.Taylor telah memberi satu takrif yang klasik mengenai konsep kebudayaan.
"kebudayaan merupakan satu keseluruhan yang kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, kesusilaan, undang-undang, adat resam dan lain-lain kebolehan serta kebiasan yang diperolehi oleh manusia sebagai anggota masyarakat."
s
(Rujukan sumber dari buku Seminar Kefahaman Budaya, terbitan kementerian Kebudayaan, kesenian dan pelancongan Malaysia - Disember 1999 )

Pemuda Disyor Buat Konsert ‘ala Tautan Kasih’ Di Kubu Umno

BERTUAH Mawi, Harakah buat liputan besar-besaran dalam konsertnya - ini antara ayat yang diluahkan oleh para wartawan hiburan yang membuat liputan konsert `Tautan Kasih' di Kota Bharu, Kelantan 30 September dan 1 Oktober lalu.

Penulis hanya mampu tersenyum tetapi di sebalik senyuman itu sudah pasti tersimpan seribu makna yang sukar untuk ditafsirkan.


Sepanjang dua hari di Kota Bharu yang telah ditambah gelarannya, kali ini sebagai bandar raya Islam, penulis setiap hari membelek helaian akhbar perdana serta tabloid untuk melihat laporan konsert yang julung kali diadakan di negeri Serambi Makkah itu. Ramai wartawan memberi respons positif, tak kurang juga yang negatif. Sebelum konsert itu diadakan ramai di kalangan ahli PAS serta pimpinan membantah cetusan idea daripada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pertikaian demi pertikaian sering diluahkan khususnya daripada ahli PAS sehingga melibatkan kontroversi yang melampau. Sebelum konsert, penulis sendiri beranggapan apakah kerajaan Kelantan berjaya memantau ghairah anak-anak muda terhadap kemunculan Mawi? Sudah pasti kedengaran jerit pekik nama Mawi, tidak kurang juga yang menari serta terlompat-lompat apabila Mawi membuat persembahan.

Ternyata tanggapan itu meleset. Penulis turut berasakan bahawa konsert pada malam Sabtu dan Ahad itu seperti berada dalam suasana satu majlis keramaian, walaupun ini merupakan kali pertama penulis menonton konsert. Hebat, menawan dan memukau... Memukau dengan persembahan Akil Hayy, M Nasir dan Mawi...menawan dengan penampilan artis-artis yang penuh kesopanan manakala hebat dengan suara ‘original’ ketiga-tiga penyanyi ini tidak kurang juga kumpulan nasyid Rabbani dan Mestica.

Jika penyanyi sudah memukau, menawan dan hebat apatah lagi para penonton yang dikategorikan menjadi tiga tempat. Kedudukan lelaki, perempuan dan berkeluarga berasingan. Dianggarkan 99 peratus penonton perempuan bertudung manakala lelaki tidak malu untuk berkopiah. Kesopanan dan akhlak ketika menyaksikan persembahan idola mereka tetap terjaga hanya terdengar jerit pekik daripada seorang dua sahaja. Mungkin inilah hikmahnya para penonton menunaikan solat jemaah maghrib dan isyak di padang tempat konsert itu diadakan sebelum berlangsungnya konsert tersebut.

Walaupun Mawi menjadi `kegilaan' dewasa kini khususnya para remaja perempuan Kelantan, penulis tidak mendengar suara mereka sama-sama menyanyi mengalunkan lagu sebagaimana yang diminta oleh Mawi. Mereka hanya bertepuk tangan, bersorak dan menjerit nama Mawi dan tidak lebih daripada itu. Penulis turut rasa selamat, selesa dan tenang sekali.

Penulis lirik dan penghibur terkenal tanah air, M Nasir turut melahirkan rasa terkejut dengan penampilan penonton di Kelantan yang begitu bersopan. Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas konsert Tautan Kasih pada malam pelancaran Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam.


Inilah indahnya Islam jika ia benar-benar dipimpin oleh seorang ulama yang takut dengan hukum Allah. Malam pertama konsert yang diadakan di Padang Majlis Perbandaraan Kota Bharu, hati penulis tersentuh dengan luahan hati penyanyi yang menjadi idola remaja masa kini (Mawi). Timbul rasa simpati sedangkan sebelum ini penulis termasuk dalam katogeri `insan yang membantah konsert Tautan Kasih bersama Mawi'. Luahan hati Mawi sebelum menaiki pentas membuatkan hati penulis terfikir sejenak, memang tepat keputusan Tuan Guru menjemput Mawi menyanyi di Kelantan.


Aku tidak mahu lupa diri,

Aku tidak mahu lupa darjat,

Aku tidak mahu lupa asal usulku,

Aku mahu menjadi aku...

Kesediaan bukan sahaja Mawi malahan M Nasir, Akil Hayy, Rabbani, Mestika menerima jemputan daripada kerajaan Kelantan wajar dihargai oleh semua pihak. Hanya penyanyi yang memenuhi cita rasa pimpinan dan ahli PAS sahaja yang dibenarkan membuat konsert di negeri Serambi Makkah itu. Jika ada pihak yang mahu mempolitikkan konsert tersebut sehingga mereka tidak mendapat tempat di persada hiburan tanah air, apakah PAS bersedia menyediakan tempat untuk para artis itu terus berhibur dengan bayaran yang lumayan?

Jemputan kerajaan Kelantan
Ini mungkin antara risiko yang bakal dihadapi oleh mana-mana artis yang menerima jemputan kerajaan Kelantan, jika benar ada pihak yang mahu mempolitikkan konsert tersebut. Sehubungan itu, tidak adil jika masyarakat terus-terusan menyerang Mawi dan memperlekehkan keterbukaan minda pimpinan PAS untuk memberi hiburan alternatif kepada rakyatnya. PAS perlu `berdiri sama tinggi, duduk sama rendah' dengan parti politik yang terus menguasai negara hari ini. Jika PAS berdiri `tempang' sudah pasti sukar untuk parti Islam ini menembusi pasaran politik dunia.


Rakyat Kelantan memang dahagakan hiburan. Meminjam kata-kata Akil Hayy selepas mendendangkan lagu `Selimut Putih'; `malam ini bukan untuk berhibur tapi untuk merehatkan minda...' Jika dihalusi kata-katanya memang benar, berhibur setelah penat bekerja bukan berhibur sebahagian daripada budaya manusia. Persoalannya, setelah selesai Kelantan mengadakan konsert Tautan Kasih bersama Mawi yang disasarkan untuk golongan remaja, apakah langkah seterusnya selepas ini? Adakah selepas ini Dewan Pemuda PAS pula akan menjemput Mawi untuk menarik golongan remaja menyertai PAS?


Sebelum ini ada exco Pemuda PAS yang menyuarakan cadangan kepada penulis untuk membuat konsert bersama Mawi di negeri berkenaan. Bagi penulis perubahan dengan cara sedikit demi sedikit itu akan meninggalkan kesan yang mendalam jika dibandingkan dengan perubahan secara mendadak. Dikhuatiri perubahan secara mendadak itu akan menghilangkan kredibiliti PAS sebagai Parti Islam SeMalaysia yang dikagumi dan digeruni oleh pihak musuh.


Penulis ingin mencadangkan supaya pimpinan PAS terutama Dewan Pemudanya menganjurkan konsert di negeri `kubu Umno'. Contohnya, bukankah rakyat Johor suka berhibur dan tidak salah menjemput Mawi kerana negeri itu tempat kelahirannya. Sudah pasti peminatnya dua kali ganda daripada Kelantan. Negeri ini wajar dijadikan `sasaran utama' untuk PAS mengajak masyarakatnya berdakwah sambil berhibur. Penulis tidak hairan rakyat di Kelantan bersopan, bertudung dan berkopiah menonton konsert kerana mereka berlindung di bawah negeri yang dipimpin oleh seorang ulama. Pemantauan dan pengawalannya sudah tentu tidak banyak mendatangkan kesukaran. Mungkin juga tidak banyak mencabar petugas bahagian kawalan dan keselamatan. Ini kerana rakyat Kelantan sudah lama terdidik dengan kesopanan dan akhlak Islam yang syumul.


Apa kata kalau buat di negeri kubu Umno? Lakukan sebagaimana yang telah dijalankan di Kelantan. Penulis yakin pimpinan PAS negeri tersebut atau jika penganjurnya Dewan Pemuda PAS akan berjaya melakukan yang terbaik. Barulah betul-betul mencabar ketangkasan dan keberanian Dewan Pemuda. Kalau melakukan di tempat sendiri kurang mencabarlah beb! Kalau konsert di negeri Serambi Makkah itu menyediakan peruntukan kepada 22 wakil media, penulis yakin negeri kubu Umno boleh mengadakan peruntukan untuk lebih daripada 25 wakil media. Mungkin peruntukan itu tidak termasuk wakil media Harakah kerana Harakah dinobatkan sebagai `tuan rumah', sebagaimana yang dimaklumkan oleh penulis ketika membuat liputan berita di negeri Kelantan.

Jika diikutkan hati, rasa kecil hati juga sebab semua nama media yang membuat liputan disebut di hadapan lebih 55, 000 penonton sebagai tanda penghargaan, tetapi malang sekali Harakah tidak ada dalam senarai untuk dihargai. Tapi tak apalah, penulis dan rakan-rakan yang lain bukan bekerja untuk konsert atau individu tetapi untuk jemaah. Minda penulis terbuka luas setelah tiga hari dua malam sebumbung dan satu bas dengan wakil media hiburan Kuala Lumpur. Walaupun pergerakan mereka bebas, penulis amat menyenangi mereka. Mesra, tidak sombong, tidak kedekut ilmu dan ringan tulang. Jika selama ini penulis hanya berkisar dengan dunia politik tetapi tiga hari itu penulis benar-benar bebas daripada politik sebaliknya hanya tertumpu pada hiburan...


Tiga hari berada dalam dunia hiburan, penulis mendapat sedikit rumusan. Setiap manusia di dunia ini mempunyai tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, jiran, sahabat handai dan yang paling penting kepada Allah SWT. Semoga dengan kelahiran, kehadiran serta populariti Mawi jangan sampai ada pihak yang mengambil kesempatan untuk tidak menunaikan tanggungjawab berdakwah kepada jiran, sahabat handai dan seluruh umat di dunia ini.


Jangan hendaknya tugas berdakwah itu diserahkan terus kepada populariti Mawi. Kita perlu menggunakan kesempatan tetapi jangan mengambil kesempatan. Kasian Mawi, dia budak baru belajar. - Saidatul Amani

dipetik dari harakahdaily.net

Cara dan Kaedah Bermain Gasing

Ada lima langkah utama dalam permainan gasing, iaitu melilit tali, melilit gasing, memusing gasing, memangkah, dan mengangkat gasing.
s
1. Melilit tali
Melilit tali merupakan langkah yang paling penting. Tali yang tidak diikat dengan kemas akan terurai dan berkemungkinan gasing tidak dapat berpusing dengan ligat. Terdapat dua cara melilit tali iaitu:
• Melilit di lengan
• Melilit di jari kelingking
s
2. Melilit gasing
Lilitan gasing akan dibuat pada bahagian leher gasing. Gasing boleh dililit menggunakan dua cara, sama ada dililit pada bahagian lengan dan kemudian dililit pada gasing ataupun melilit tali pada pokok dan kemudian dililit pada gasing.
s
3. Memusing gasing
Biasanya pemain gasing mempraktikkan gaya permainan secara pusingan sorong tarik atau pusingan sentap. Bagi pusingan sorong dan tarik, gasing perlu sentiasa berada dalam keadaan mengiring. Pemain akan menumpukan perhatian pada sasaran di hadapan dan badan dibongkokkan kira-kira 45 darjah. Gasing akan diayunkan dan semasa ayunan dibuat, gasing akan ditegakkan. Pusingan secara sentap pula dilakukan untuk menghasilkan pusingan yang ligat. Pemain akan berdiri dalam keadaan tegak dengan tangan yang memegang gasing menghala ke atas. Tangan pemain berada kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Ketika gasing diayunkan, pemain akan menyentap sedikit tali supaya gasing menjadi lebih ligat dan mampu berpusing lama.
s
4. Memangkah gasing
Pemain yang ingin memangkah gasing pihak lawan, perlu menumpukan perhatian tepat mengenai sasaran supaya gasing dapat berpusing dengan lama dan menghasilkan uri yang ligat. Terdapat empat gaya ketika memangkah, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang, dan pangkah tebang.
s
5. Mengangkat gasing
Gasing akan diangkat ketika masih berpusing. Tujuannya adalah untuk memastikan pusingan gasing dapat bertahan dengan lebih lama. Semasa gasing masih ligat berpusing, pemain akan cuba mengangkat gasing dan memastikan gasing tersebut tidak berhenti ketika diangkat. Sebelum gasing diangkat, pemain terlebih dahulu menentukan liuk gasing. Liuk gasing adalah pusingan terendah bahagian patak dengan bumi. Arah pusingan badan juga perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan gasing. Gasing akan diangkat menggunakan tali dan cokok. Untuk memastikan gasing berpusing ligat, mengangkat gasing perlu dibuat berhati-hati dan gasing perlu berada dalam keadaan tegak serta tali yang digunakan perlu tegang.
s
Kaedah
Gasing dimainkan dua cara, sama ada sebagai gasing uri ataupun gasing pangkah. Gasing uri biasanya dimainkan untuk melihat dan menguji ketahanan gasing berpusing. Pemenang akan diadili berdasarkan jangka masa gasing dapat berpusing. Gasing yang mampu berpusing lama dikira sebagai pemenang pertandingan. Biasanya gasing mampu berpusing lebih daripada satu jam.
s
Gasing pangkah pula dimainkan untuk mengetuk gasing pihak lawan dan dimainkan oleh dua buah kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada dua hingga lima orang. Sebelum permainan dimulakan, mereka akan beradu kekuatan dahulu. Pertandingan uri akan dibuat untuk memilih kumpulan memangkah dan kumpulan menanti. Gasing kumpulan yang berpusing lebih lama akan menjadi kumpulan memangkah manakala kumpulan yang kedua akan menjadi kumpulan menanti.
a
Kumpulan memangkah akan memangkah gasing kumpulan menanti. Tujuannya adalah untuk memecahkan gasing pihak lawan atau paling tidak, dapat menghentikan gasing pihak lawan. Tetapi jika gasing kumpulan menanti masih berpusing, jong cokok akan digunakan. Jong cokok diperbuat daripada kayu dan agak leper. Gasing yang masih berpusing akan dicokok ke permukaan jong dan jika gasing pihak menanti lebih lama berpusing, kumpulan memangkah akan bertukar menjadi kumpulan menanti dan begitulah sebaliknya.

Jenis-jenis Gasing

Gasing leper Kelantan hanya terdapat di Kelantan dan dimainkan oleh segelintir pemain tradisional. Gasing ini banyak terdapat di pasaran dan harganya mahal. Gasing uri pula terkenal di negeri Kelantan. Ia disimpai menggunakan timah, besi atau plumbum dan disimpan daripada timah. Ia digunakan untuk memusing dan jika simpainya besi, digunakan untuk memangkah.

Gasing Kuno terdapat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Selangor dan Johor. Gasing ini biasanya digunakan untuk memangkah dan diperbuat daripada kayu merbau, ru, meranti dan keranji. Gasing jantung pula biasanya terdapat di negeri Kelantan, Kedah, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak. Ia juga dikenali sebagai gasing lundu. Satu lagi jenis gasing ialah gasing tanjung yang dimainkan oleh pemain dari Muar. Gasing ini berfungsi sebagai pengacau dan pmangkah.

Gasing


Matlamat utama bermain gasing adalah untuk berhibur dan mengisi masa lapang. Selain itu, permainan ini dikatakan dapat menilai dan mengukur kemahiran seseorang untuk menghadapi pelbagai situasi. Gasing biasanya dimainkan di gelanggang yang dibuat di halaman rumah atau di bawah rimbunan pokok yang rendang.

ASAL-USUL PERMAINAN
Banyak spekulasi yang timbul berkaitan dengan asal-usul permainan ini. Ada yang menyatakan permainan ini wujud hasil penemuan buah berembang yang terdapat di pantai. Strukturnya yang bulat dan leper serta licin memudahkannya berputar ligat. Kemudian rekaan ini diadaptasi menggunakan kayu daripada kayu pokok yang lembut agar mudah dibentuk.

Selain buah berembang, ada juga yang mengatakan permainan ini berasal daripada permainan ‘laga telur'. Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak dengan cara memusingkan telur dan melagakannya antara satu sama lain. Rentetan daripada itu, timbullah idea untuk mengembangkannya kepada bentuk kayu. Pada bahagian tengah dipacakkan paksi agar gasing dapat berputar dengan lebih ligat dan dalam jangka masa yang lama.

LANGKAH PEMBUATAN GASING
Kayu pokok penaga, keranji, leban tanduk dan sepan dilarik menggunakan alat pelarik mengikut bentuk, saiz dan kreativiti yang dikehendaki.
Besi paksi dibenamkan di bahagian tengah gasing supaya gasing dapat berpusing dalam keadaan seimbang ketika diputarkan.
Kepingan timah akan diletakkan di bahagian atas gasing untuk menggelakkan gasing daripada pecah ketika dipangkah.

Hiburan Alternatif Mestilah Dibangunkan Dalam Bentuk Industri

Persoalan hiburan dalam Islam sebenarnya merupakan satu persoalan yang rumit untuk ditangani oleh gerakan Islam, dan perkara ini diakui sendiri oleh para ulama' kontemporari seperti Dr. Yusoff Qardhawi sendiri yang menulis sebuah buku khusus mengupas persoalan hiburan di dalam Islam.

Persoalan hiburan mungkin kelihatan agak mudah kalau dibahaskan dari sudut hukum muzik dan nyanyian semata-mata. Sememangnya terdapat hujjah dan pandangan yang kuat di kalangan ulama’ yang mengharuskan hiburan muzik dan nyanyian, sekiranya ianya tidak melibat unsur-unsur maksiat, seperti senikata lucah, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan seumpamanya.

Pun begitu, hiburan tidak lagi wujud dalam bentuknya seperti dahulu di mana ianya adalah aktiviti sampingan untuk mengisi masa lapang dan aktiviti bersantai. Hiburan hari ini wujud dalam bentuk industri komersial yang bernilai ribuan juta ringgit.

Kalau kita bercakap tentang hiburan alternatif, kita juga mestilah juga memikirkan tentang 'industri'nya agar hiburan alternatif ini boleh terus beroperasi dan berkembang. Ianya tidak boleh hanya wujud dalam bentuk konsert sekali-sekala. Ini tidak akan menghasilkan sebuah industri.

Seorang penghibur alternatif (Islam) perlu terlibat sebagai penghibur profesional yang bergiat sepenuh masa dengan industri hiburan. Kalau tidak, masyarakat akan menganggap beliau sebagai penghibur picisan yang tidak berkualiti. Maka, ia tidak akan mampu membentuk 'alternatif' kepada keperluan para remaja terhadap hiburan.

Seorang penghibur juga perlu sumber kewangan tetap, dan mereka perlu hidup dalam kelas kehidupan yang tersendiri dalam dunia glamour yang diceburinya. Rakaman lagu dan persembahan konsert sahaja tidak mampu menampung keperluan hidup seorang artis. Kebanyakan artis hari ini bergantung dengan kontrak persembahan dengan kelab-kelab hiburan, kelab malam, dan sebagainya. Kontrak seperti ini menjanji pendapatan tetap jangka panjang dan lebih terjamin berbanding rakaman lagu dan persembahan konsert yang memerlukan modal yang tinggi dan risiko yang besar.

Mampukah para Islamis dan pendakwah membina platform alternatif kepada industri hiburan ini. Penghibur seperti Ramli Sarip dan M.Nasir mungkin dilihat sebagai artis yang berkeperibadian sederhana dan tidak melampau. Lagu-lagu mereka juga mempunyai nilai-nilai yang baik untuk diketengahkan kepada masyarakat. Tetapi Ramli Sarip dan M. Nasir juga terpaksa membuat persembahan di kelab-kelab hiburan dan kelab malam untuk menyara kehidupan keluarga mereka. Adakah mereka mempunyai tempat lain untuk menghibur yang mampu memberikan pendapat tetap kepada mereka sekiranya mereka mahu menghindarkan diri dari kehidupan 'lampu neon yang mengasyikkan'? Sekali-sekala bolehlah Kerajaan Kelantan buat konsert, tapi bukan tiap-tiap bulan.

Malangnya, industri hiburan dikuasai sepenuhnya oleh para hedonis, dan bukannya Islamis. Para penghibur terpaksa bergantung nasib dengan para hedonis ini untuk terus hidup sebagai artis. Berapa lama Mawi boleh bertahan sebagai penghibur alternatif tanpa bantuan para hedonis? Malah Mawi sendiri mungkin lahir dari industri hiburan yang hedonis seperti Akademi Fantasia. Tetapi kesediaannya untuk menyokong kewujudan hiburan alternatif yang lebih Islamik wajar disokong. Tetapi mampukah para Islamis menyediakan platform industri hiburan alternatif untuk para artis keluar dari dunia hiburan hedonis yang menguasai mereka?

Bagi saya ini satu cabaran yang amat besar dan memerlukan jiwa besar dari semua kelompok masyarakat Islam. -
Jamzuri

Susahnya PAS Mencari Hiburan Alternatif


Ibarat laut dengan pantai, bulan dengan matahari. Eratnya, hubungan antara dua komponen, saling bertaut. Begitu juga manusia dengan hiburan. Sejarah telah mencatatkan bahawa, keperluan manusia kepada hiburan khususnya muzik dan nyanyian tersangat besar, justeru itu tidak sepatutnya ada suara-suara yang meremehkan oleh sesetengah kelompok dari kalangan kita tentang nyanyian dan muzik.

Umum menganggap bahawa, muzik dan nyanyian sebagai sesuatu yang asyik dan melalaikan dan tidak pernah menemukan muzik yang islami. Tangggapan itu kerana kita hanya memungut sampah barat tanpa tahu makna filosofis di sebalik budaya popular tersebut, lalu kita prejudis kepada apa jua nyanyian dan muzik yang hadir dalam masyarakat kita.

Justeru itu kita kehilangan sebuah budaya yang lahir bersama dengan fitrah kejadian manusia, iakni keperluan hiburan. Melawan fitrah samalah melawan arus air yang deras, yang tentunya bukan sesuatu yang mudah tetapi amat meletihkan lagi sia-sia.

Di samping hiburan, muzik membuktikan berperanan dan berfungsi dalam masyarakat cukup banyak. Hanya kita melihat saat ini, Cuma hiburan kosong dengan gaya hidup yang disuap peradaban barat, sedangkan muzik sebenarnya adalah bahasa universal. Bahasa itu mempunyai hubungan erat dengan fikiran kita yang disebut dalam bahasa Arab sebagai kalam. Di samping itu, muzik juga sebagai alat ideologis, menyampaikan pesan-pesan yang efektif.

Bahkan muzik juga, menurut Ibnu Sina, seorang ahli perubatan Islam terulung, berfungsi sebagai terapi kesihatan dan ketenteraman jiwa. Justeru itu, sudah sampailah masanya, kita memcahkan mitos, bahawa muzik sebagai alat melalaikan, kepada alat menyampaikan sesuatu yang maaruf dan lebih dari itu adalah untuk mengajak manusia mendekati Yang Maha Pencipta dengan cara yang paling santai.

Syeikh Dr Yusuf Qardhawi, seorang ahli fiqh Islam terkenal dalam bukunya Halal dan Haram Dalam Islam tidak mengharamkan alat muzik tetapi mengharamkan unsur-unsur di luar muzik seperti percampuran lelaki perempuan dan nyanyian-nyanyian oleh wanita yang ditonton oleh lelaki atau aksi-aksi lain yang terbukti tidak sesuai dengan etika Islam.

Sejarah muzik, sebenarnya, tidak boleh lari dari tradisi Islam dengan kekayaan budayanya sehingga menyumbang kepada muzik di dunia moden masakini. Sebagai contoh, sebahagian alat muzik seperti gitar dan seruling, adalah hasil seniman Islam Cordova dan Andalusia (Sepanyol). Ibnu Sina sekali lagi berujaran mengenai muzik dalam bukunya, Qanun fi alThib, bahawa beliau melakukan pembedahan dengan pembiusan melalui bunyi muzik. Seterusnya beliau mengatakan, muzik mampu mempengaruhi sikap seseorang.

Begitu juga Jalaludin Rumi, menganggap bahawa dunia boleh diceriakan lewat kesenian, agama dan cinta. Justeru itu beliau menggabungkan muzik, agama dan cinta menjadi tarian Sufi yang ekosotik dan mengagumkan, penuh simbol dan keberkesanan spiritual.

Tetapi hiburan berbentuk muzik dan nyanyian yang hadir dalam masyarakat Malaysia hari ini diimport dari barat dan ternyata melalaikan, serta bertentangan dengan Islam sehinggan lorong kebaikannuya hampir tiada. Lirik-lirik lagunya berbentuk pemujaan material, manakala lingguk sang penyanyi khususnya wanita, penuh keghairahan berahi.

Muzik serta nyanyian seperti ini telah membudayai masyarakat kita sejak lama. Anak-anak lahir dan dewasa dalam alunan muzik barat yang didengarnya lewat radio atau televisyen. Hanya muzik seumpama itu yang menusuk telinganya saban hari. Meskipun tidak dinafikan, bahawa terdapat lagu-lagu dan nasyid, tetapi muzik seperti ini ternyata tidak upaya menarik kelompok remaja menghayatinya dan ia hanya layak dipersembahkan pada acara-acara keagamaan semata-mata.

PAS sebagai sebuah organisasi politik Islam utama di Malaysia, sering melabelkan, bahawa muzik dan nyanyian yang terdapat di Malaysia hari ini jauh menyimpang dari ajaran Islam, sehingga kerajaan Kelantan yang diperintah oleh PAS tidak membenarkan sebarang bentuk nyanyian dan muzik seumpama itu diadakan di negeri Serambi Mekah. PAS mahukan sebuah hiburan alternatif sebagai ganti kepada hiburan yang menyimpang dari kehendak Islam. Itu sesuatu yang wajar dilakukan oelh sebuah parti yang berjuang di atas fikrah Islam.

Tetapi malangnya PAS tidak berusaha untuk mencari sebuah hiburan yang Islami, sekurtang-kurangnya untuk warga negeri Kelantan. Sedangkan peranan dan fungsi lagu atau nyanyian dalam menyampaikan sesuatu pesan itu amat efektif. Mengambil Dikir Barat sebagai ganti hiburan alternatif samalah merampas kereta dari anak muda, kemudian menggantikan dengan kereta lembu. Sesuatu yang tidak patut atau hanya sekadar melepas batuk di tangga.

Umum melihat remaja-remaja di negeri Cik Siti Wan Kembang amat dahagakan hiburan, tetapi tiada siapa mempedulikannya. Gelojak rasa yang berbuak-buak di dalam dada anak-anak muda sepatutnya boleh difahami oleh pemimpin-pemimpin politik dan masyarakat lalu mencari satu bentuk hiburan moden yang sesuai dengan selera remaja masakini yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Tetapi usaha ke arah itu hampir tiada. Hanya bergantung kepada persembahan nasyid yang tidak mendapat respon yang menggalakkan dari kelompok remaja kecuali sedikit dari mereka yang berpendidikan agama yang sememangnya sudah baik perangainya.

Kekuatan sesebuah lagu banyak bergantung kepada lirik, kerana lirik itu kalam. Para nabi menyampaikan pesanan tauhid lewat kalam, justeru itu ternyata kalam itu amat besar peranannya dalam mengajak manusia kepada maaruf dan mencegah manusia dari melakukan kemungkaran serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Dalam hal ini, lirik-lirik lagu yang dinyanyikan oleh papa rock, Ramli Sarip misalnya, memenuhi kategori sebagai lagu-lagu yang memuji keTuhanan, yang didendangkannya dengan penuh penghayatan, sehingga membangkitkan kesedaran para pendengar dan peminat akan kebesaran Yang Maha Pencipta dengan segala keagunganNya.

Lirik-lirik lagu nyanyiannya ridak jauh beza dengan syair atau puisi para Sufi di zaman silam dalam meluahkan rasa hatinya kepada Allah SWT dan hasilnya bukan sedikit, para pendengar dan peminat yang mendengarnya akan terasa bahawa dirnya sekarang bukan sahaja sedang menikmati sebuah lagu malah lebih dari itu, sedang mengingati Allah SWT dengan segala kebesaranNya. Keberkesanannya dengan mendengar lagu-lagu tersebut bagi kelompok remaja, jauh lebih baik dari seribu dendangan lagu-lagu yang dibawa oleh penyanyi nasyid.

Sebagai contoh, beberapa rangkap lagu ketuhanan yang dinyanyikan oleh beliau:
Kaulah Yang Maha Agung, Kaulah Yang Maha Mengetahui, Tuhan dunia akhirat, Tiada aku tanpaMu (Kau Yang Satu)

Tua, Muda, miskin, kaya, Pasti kembali kepadaNya, rumah, harta, gedung, istana, tiada lagi berguna, hanya amal, budi, bakti, suci (Kalimah Terakhir)

Pencipta Kaulah berkuasa, Atur wajah perjalananku, biar duka dan hidup merana, aku hanya menyerah (Doa)

Di atas nama kebenaran, di atas nama ketulusan, di atas nama Tuhanmu, di atas nama Yang Maha Esa, di atas nama Yang Maha Kuasa, di atas nama Tuhan Yang Satu, katakan Tuhan itu satu (Iqra’)


Dan banyak lagi lagu-lagu seumpama itu yang dinyanyikan penuh syahdu oleh beliau.

Masyarakat khususnya golongan remaja, sangat memerlukan kehadiran penyanyi yang membawa mesej keTuhanan seperti itu dan Negeri Kelantan, yang sudah 15 tahun diperintah oleh PAS sepatutnya sudah melahirkan 10 orang Ramli Sarip.

ROSSEM
(dipetik daripada akhbar Buletin Demokrasi, bil. 66, keluaran 30 April 2005)

Kompang


Salah satu daripada alat muzik tradisional Melayu yang popular masa kini ialah kompang. Kompang dikatakan berasal daripada Parsi dan digunakan untuk menyambut kedatangan Rasulullah S.A.W. Selain itu, kompang juga digunakan untuk menaikkan semangat tentera Islam ketika berperang. Alat muzik ini dibawa ke Nusantara oleh pedagang Arab yang datang berdagang. Mereka memperkenalkan alat muzik ini dan mendapat sambutan yang hebat di kalangan penduduk Tanah Melayu terutamanya orang-orang Jawa.

Kompang mempunyai ukuran garis pusat antara 20 hingga 37.5 sentimeter dan ketinggian sehingga 12 sentimeter. Ia banyak dimainkan di negeri Johor, Selangor dan Perak. Kalau dahulunya alat muzik ini hanya dimainkan di majlis perkahwinan, berkhatan, dan menyambut pembesar tetapi penggunaannya diperluaskan di sekolah, institusi pengajian tinggi dan ketika menyambut ketibaan pemimpin negara luar.
Alat muzik ini bulat dan diperbuat daripada kayu yang kuat dan berkualiti. Kayu yang berbentuk bulatan penuh ini dikenali sebagai balon atau badan kompang. Biasanya kayu yang digunakan ialah pokok cengal dan palau. Penggunaan kayu yang kuat akan memastikan balon kompang tidak pecah atau retak apabila terjatuh. Kulit kambing betina pula digunakan sebagai penutup pada permukaan balon kompang. Satu lagi permukaan kompang yang terbuka dikenali sebagai mulut kompang.

Kompang terdiri daripada pelbagai saiz. Kompang yang dimainkan di Johor tidak mempunyai saiz yang tertentu. Ada yang mempunyai ukuran garis pusat sepanjang 22.5 sentimeter, 25 sentimeter, 27.5 sentimeter dan ada juga yang mencecah sehingga 35 sentimeter. Kebanyakan pemain di Johor menggunakan kompang yang sama saiznya. Hal ini demikian kerana kompang yang pelbagai saiz menghasilkan bunyi yang berbeza. Pemain di negeri Perak dan Selangor pula menggunakan alat muzik sampingan yang lain untuk mempelbagaikan bunyi.

Contoh Pantun Klasik

Betapa lebat bunga remia,
Lebat lagi bunga pegaga;
Betapa hebat pakaian dunia,
Hebat lagi pakaian syurga.

Selagi langit payungi awan,
Hujan juga merintis embun;
Selagi sampai segala tujuan,
Badan binasa musuh berembun.

Ikan cudak tenggiri batang,
Suluh-menyuluh di haluan perahu;
Kalau hendak sendiri datang,
Suruh-menyuruh kami tak tahu

Jurumudi pegang kemudi,
Nyiur bakul peninjau kerang;
Bukan sebabnya tidak berbudi,
Jangan ketara kepada orang

Kenali Pantun

PANTUN adalah sejenis puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud sejak zaman berzaman. Mengikut sejarah, pantun wujud sejak zaman masyarakat Melayu tidak tahu menulis dan membaca lagi. Pantun dicipta sebagai suatu bentuk pengucapan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap seseorang ataupun mengenai sesuatu perkara di samping bertujuan untuk menyindir, berjenaka dan memberi nasihat serta untuk bersuka-suka.

Pantun merupakan bentuk puisi tradisonal yang terdiri daripada empat baris serangkap, empat perkataan sebaris, mempunyai rima a-b-a-b dengan beberapa variasi dan pengecualian. Tiap-tiap rangkap terbahagi kepada dua iaitu rangkap pembayang atau sampiran dan maksud. Setiap rangkap tidak dapat berdiri sendiri dan biasanya rangkap-rangkap tersebut memerlukan beberapa rangkap lain untuk melengkapkan keseluruhan idea. Berikut dipaparkan contoh-contoh pantun empat rangkap yang meliputi tema kasih sayang, adat dan nasihat.

Ringkas Boria

Boria dipercayai berasal dari Parsi, ianya telah muncul di Pulau Pinang pada penghujung kurun ke 19.

Boria menggabungkan elemen-elemen tarian, muzik dan sketsa. Kumpulan boria terdiri daripada ketua kumpulan, penyanyi utama, pelawak dan pemuzik.

Biasanya pertunjukan boria dimulai dengan persembahan sketsa.

Kemudian diikuti dengan nyanyian dan tarian yang menampilkan gabungan secara beramai-ramai dan solo. Liriknya adalah intipati daripada persembahan sketsa.

M Nasir Rakam Tahniah Lahirkan Bandaraya Islam


KOTA BHARU, 2 Okt (Hrkh) – Penggubah, penyanyi dan pelakon terkenal tanah air, M Nasir merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri kerana mengilhamkan kewujudan sebuah bandar raya Islam di negara ini. Secara spotan semasa membuat persembahan sempena pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam di Stadium Sultan Mohammad Ke IV malam tadi beliau berkata, “patik merakam tahniah kepada mereka yang dapat ilham melahirkan bandar raya Islam,”.

Beliau berkata, ia memberi kelebihan kepada Islam itu sendiri dan dunia seluruhnya. M Nasir mengungkap kata-kata itu selepas selesai menyanyikan lagu ‘Kepadamu Kekasih’ yang mendapat tempukan gemuruh daripada penonton.
Komposer tersebut tampil selepas Mawi menyanyikan lagu Seroja dan Gadis Melayu. Pengacara majlis, Pengarah Perhubungan Awam MPKB-BRI, Azman Mohd Daham sebelum itu berkata, M Nasir adalah sifu kepada Mawi.
Mawi, M Nasir dan kumpulan nasyid Rabbani juga berduet lagu Ghazal Untuk Rubiah. Manakala Mawi pula mengajak peminat dengan ungkapan ‘world.. world juga, puasa jangan lupa’.
“Patik juga kagum dengan kumpulan nasyid Rabbani dan mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh peminat di Kelantan kerana mengundi saya semasa menyertai pertandingan akhir Akademi Fantasia,” kata Mawi.
Deklamasi sajak yang berjudul ‘Kota Kesejahteraan Kita’ oleh Abdul Hadi Yusof diiringi dengan ‘drama tari’ penari lelaki juga turut memukau penonton. Sajak panjang itu dinukilkan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ A Aziz Deraman.
Persembahan dikir barat yang diketuai Halim Yazid dengan lagu ‘Anak Tupai’ tidak kurang hebatnya. Di akhir program pengerusi mengisytiharkan Menteri Besar memberi kelepasan cuti hari ini (Ahad) kepada sekolah-sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan. - MJ (www.harakahdaily.net)

Asal-Usul Silat Cekak Malaysia



Silat Cekak berasal dari Kedah. Pernah diamalkan oleh panglima-panglima kerajaan Kedah di zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II.
Panglima Ismail, salah seorang panglima kanan kerajaan Kedah yang pernah menewaskan seorang batak bernama Tuah (bukan Hang Tuah) telah menurunkan ilmu silat ini kepada Panglima Tok Rashid. Manakala Panglima Tok Rashid pula telah mengamanahkan Silat Cekak ini kepada Yahya Said yang berasal dari Batu Kurau, Taiping sebagai 'pemegang amanah'.
Panglima Tok Rashid meninggalkan wasiat kepada Yahya Said yang ketika itu berumur 20 tahun:
"Jika ada anak cucuku di Kedah hendak belajar silat ini, hendaklah kau pulangkan kembali".
Silat ini telah terpendam selama 40 tahun sehinggalah Y.M. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad yang berasal dari Kedah, telah bertemu dengan Yahya Said.
Oleh kerana minatnya yang amat mendalam terhadap silat ini, Y.M. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad telah dapat mewarisi kembali seni pusaka bangsa ini daripada Yahya Said. Pada 5 Ramadhan 1385 Hijrah, bersamaan 28 Disember 1965, bertempat di rumah Shafie Darus, Batu 4 3/4, Jalan Gunung Alor Setar, Kedah; Silat Cekak berjaya dilahirkan kembali menerusi Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah yang ditubuhkan pada Februari 1964.
Kemudian pada 19 Ogos 1971, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia didaftarkan dan diasaskan oleh YM Al-Marhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad Pada tahun 1975, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah menyaksikan logo baru baginya yang mana ianya juga telah diasaskan oleh Y.M. Al-Marhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad, Guru Utama merangkap Presiden PSSCM.
Beliau telah meninggal dunia pada 13 Ogos, 1986 setelah menerajui PSSCM dan mengembangkan silat ini ke seluruh negara selama 21 tahun.
Tanggungjawab ini diteruskan pula oleh Y.M. Haji Ishak bin Itam selaku Guru Utama merangkap Presiden PSSCM pada 21 September, 1986. Majlis pengijazahan penuntut baru pertama kali dilakukan oleh beliau di Universiti Pertanian Malaysia pada 13 Oktober, 1986. Seterusnya hingga sekarang cawangan-cawangan PSSCM telah berkembang diseluruh Semenanjung Malaysia.
Dipetik dari: http://www.silatcekak.org/

Kenali Jeet Kune Do

Ø Jeet Kune DO adalah sejenis seni bela diri yang bermaksud jurus menangkis pukulan.

Ø Ianya bukanlah satu gaya baru bagi kung fu ataupun karate.

Ø Ianya mula dicipta pada tahun 1967 oleh Bruce Lee yang pada ketika itu mengalami kecederaan tulang belakang yang serius. Di dalam proses penyembuhan, beliau telah mendapat ilham untuk menggayakan seni beladiri ini.

Ø Dengan kepakaran beliau dalam seni Kung Fu Wing Chun, beliau telah menggabungkan beberapa seni tempur lain seperti tinju dan sebagainya sehingga terciptalah Jeet Kune Do – “The Way of Intercepting Fist”.

Ø Peraturannya yang paling asas adalah, menyerap apa yang berguna, menolak apa yang tak berguna dan menambah apa yang sewajarnya diambil”.

Ø Jeet Kune Do bukan satu system kerana system merupakan satu formula, ianya membawa maksud seni, dan seni terbuka untuk diinterpretasi dan dieksperesi.

Ø Ia menitikberatkan kesederhanaan.

Ø Pengikutnya sering melihat ianya sebagai satu sudut pandangan berbanding sebagai sebuah pusat pembelajaran berbanding sebagai sebuah pusat pembelajaran seni bela diri atau gaya seni bela diri.

Ø Ianya merupakan seni beladiri yang pertama mengamalkan bentuk pertarungan bebas dalam dunia beladiri di mana ianya memberi peluang kepada pengamalnya menggunakan kreativiti sepenuhnya untuk menggayakan Jeet Kune Do.

Ø Ia juga merupakan innovasi campuran gaya pertarungan dan integrasi daripada gerakan pelbagai disiplin lain.

Ø Ianya menekankan pergerakan mengikut aliran pukulan lawan, maknanya si pengamal Jeet Kune Do akan menahan setiap pukulan lawannya sebelum sempat dia diapa-apakan oleh lawannya.

Ø Ia tiada batasan dan bergerak bebas.


Ø Konsepnya adalah untuk membebaskan pengikutnya daripada bergantung kepada mana-mana gaya ataupun corak seni beladiri yang lain.