Info Seni dan Budaya

Pemuda Disyor Buat Konsert ‘ala Tautan Kasih’ Di Kubu Umno

BERTUAH Mawi, Harakah buat liputan besar-besaran dalam konsertnya - ini antara ayat yang diluahkan oleh para wartawan hiburan yang membuat liputan konsert `Tautan Kasih' di Kota Bharu, Kelantan 30 September dan 1 Oktober lalu.

Penulis hanya mampu tersenyum tetapi di sebalik senyuman itu sudah pasti tersimpan seribu makna yang sukar untuk ditafsirkan.


Sepanjang dua hari di Kota Bharu yang telah ditambah gelarannya, kali ini sebagai bandar raya Islam, penulis setiap hari membelek helaian akhbar perdana serta tabloid untuk melihat laporan konsert yang julung kali diadakan di negeri Serambi Makkah itu. Ramai wartawan memberi respons positif, tak kurang juga yang negatif. Sebelum konsert itu diadakan ramai di kalangan ahli PAS serta pimpinan membantah cetusan idea daripada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pertikaian demi pertikaian sering diluahkan khususnya daripada ahli PAS sehingga melibatkan kontroversi yang melampau. Sebelum konsert, penulis sendiri beranggapan apakah kerajaan Kelantan berjaya memantau ghairah anak-anak muda terhadap kemunculan Mawi? Sudah pasti kedengaran jerit pekik nama Mawi, tidak kurang juga yang menari serta terlompat-lompat apabila Mawi membuat persembahan.

Ternyata tanggapan itu meleset. Penulis turut berasakan bahawa konsert pada malam Sabtu dan Ahad itu seperti berada dalam suasana satu majlis keramaian, walaupun ini merupakan kali pertama penulis menonton konsert. Hebat, menawan dan memukau... Memukau dengan persembahan Akil Hayy, M Nasir dan Mawi...menawan dengan penampilan artis-artis yang penuh kesopanan manakala hebat dengan suara ‘original’ ketiga-tiga penyanyi ini tidak kurang juga kumpulan nasyid Rabbani dan Mestica.

Jika penyanyi sudah memukau, menawan dan hebat apatah lagi para penonton yang dikategorikan menjadi tiga tempat. Kedudukan lelaki, perempuan dan berkeluarga berasingan. Dianggarkan 99 peratus penonton perempuan bertudung manakala lelaki tidak malu untuk berkopiah. Kesopanan dan akhlak ketika menyaksikan persembahan idola mereka tetap terjaga hanya terdengar jerit pekik daripada seorang dua sahaja. Mungkin inilah hikmahnya para penonton menunaikan solat jemaah maghrib dan isyak di padang tempat konsert itu diadakan sebelum berlangsungnya konsert tersebut.

Walaupun Mawi menjadi `kegilaan' dewasa kini khususnya para remaja perempuan Kelantan, penulis tidak mendengar suara mereka sama-sama menyanyi mengalunkan lagu sebagaimana yang diminta oleh Mawi. Mereka hanya bertepuk tangan, bersorak dan menjerit nama Mawi dan tidak lebih daripada itu. Penulis turut rasa selamat, selesa dan tenang sekali.

Penulis lirik dan penghibur terkenal tanah air, M Nasir turut melahirkan rasa terkejut dengan penampilan penonton di Kelantan yang begitu bersopan. Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas konsert Tautan Kasih pada malam pelancaran Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam.


Inilah indahnya Islam jika ia benar-benar dipimpin oleh seorang ulama yang takut dengan hukum Allah. Malam pertama konsert yang diadakan di Padang Majlis Perbandaraan Kota Bharu, hati penulis tersentuh dengan luahan hati penyanyi yang menjadi idola remaja masa kini (Mawi). Timbul rasa simpati sedangkan sebelum ini penulis termasuk dalam katogeri `insan yang membantah konsert Tautan Kasih bersama Mawi'. Luahan hati Mawi sebelum menaiki pentas membuatkan hati penulis terfikir sejenak, memang tepat keputusan Tuan Guru menjemput Mawi menyanyi di Kelantan.


Aku tidak mahu lupa diri,

Aku tidak mahu lupa darjat,

Aku tidak mahu lupa asal usulku,

Aku mahu menjadi aku...

Kesediaan bukan sahaja Mawi malahan M Nasir, Akil Hayy, Rabbani, Mestika menerima jemputan daripada kerajaan Kelantan wajar dihargai oleh semua pihak. Hanya penyanyi yang memenuhi cita rasa pimpinan dan ahli PAS sahaja yang dibenarkan membuat konsert di negeri Serambi Makkah itu. Jika ada pihak yang mahu mempolitikkan konsert tersebut sehingga mereka tidak mendapat tempat di persada hiburan tanah air, apakah PAS bersedia menyediakan tempat untuk para artis itu terus berhibur dengan bayaran yang lumayan?

Jemputan kerajaan Kelantan
Ini mungkin antara risiko yang bakal dihadapi oleh mana-mana artis yang menerima jemputan kerajaan Kelantan, jika benar ada pihak yang mahu mempolitikkan konsert tersebut. Sehubungan itu, tidak adil jika masyarakat terus-terusan menyerang Mawi dan memperlekehkan keterbukaan minda pimpinan PAS untuk memberi hiburan alternatif kepada rakyatnya. PAS perlu `berdiri sama tinggi, duduk sama rendah' dengan parti politik yang terus menguasai negara hari ini. Jika PAS berdiri `tempang' sudah pasti sukar untuk parti Islam ini menembusi pasaran politik dunia.


Rakyat Kelantan memang dahagakan hiburan. Meminjam kata-kata Akil Hayy selepas mendendangkan lagu `Selimut Putih'; `malam ini bukan untuk berhibur tapi untuk merehatkan minda...' Jika dihalusi kata-katanya memang benar, berhibur setelah penat bekerja bukan berhibur sebahagian daripada budaya manusia. Persoalannya, setelah selesai Kelantan mengadakan konsert Tautan Kasih bersama Mawi yang disasarkan untuk golongan remaja, apakah langkah seterusnya selepas ini? Adakah selepas ini Dewan Pemuda PAS pula akan menjemput Mawi untuk menarik golongan remaja menyertai PAS?


Sebelum ini ada exco Pemuda PAS yang menyuarakan cadangan kepada penulis untuk membuat konsert bersama Mawi di negeri berkenaan. Bagi penulis perubahan dengan cara sedikit demi sedikit itu akan meninggalkan kesan yang mendalam jika dibandingkan dengan perubahan secara mendadak. Dikhuatiri perubahan secara mendadak itu akan menghilangkan kredibiliti PAS sebagai Parti Islam SeMalaysia yang dikagumi dan digeruni oleh pihak musuh.


Penulis ingin mencadangkan supaya pimpinan PAS terutama Dewan Pemudanya menganjurkan konsert di negeri `kubu Umno'. Contohnya, bukankah rakyat Johor suka berhibur dan tidak salah menjemput Mawi kerana negeri itu tempat kelahirannya. Sudah pasti peminatnya dua kali ganda daripada Kelantan. Negeri ini wajar dijadikan `sasaran utama' untuk PAS mengajak masyarakatnya berdakwah sambil berhibur. Penulis tidak hairan rakyat di Kelantan bersopan, bertudung dan berkopiah menonton konsert kerana mereka berlindung di bawah negeri yang dipimpin oleh seorang ulama. Pemantauan dan pengawalannya sudah tentu tidak banyak mendatangkan kesukaran. Mungkin juga tidak banyak mencabar petugas bahagian kawalan dan keselamatan. Ini kerana rakyat Kelantan sudah lama terdidik dengan kesopanan dan akhlak Islam yang syumul.


Apa kata kalau buat di negeri kubu Umno? Lakukan sebagaimana yang telah dijalankan di Kelantan. Penulis yakin pimpinan PAS negeri tersebut atau jika penganjurnya Dewan Pemuda PAS akan berjaya melakukan yang terbaik. Barulah betul-betul mencabar ketangkasan dan keberanian Dewan Pemuda. Kalau melakukan di tempat sendiri kurang mencabarlah beb! Kalau konsert di negeri Serambi Makkah itu menyediakan peruntukan kepada 22 wakil media, penulis yakin negeri kubu Umno boleh mengadakan peruntukan untuk lebih daripada 25 wakil media. Mungkin peruntukan itu tidak termasuk wakil media Harakah kerana Harakah dinobatkan sebagai `tuan rumah', sebagaimana yang dimaklumkan oleh penulis ketika membuat liputan berita di negeri Kelantan.

Jika diikutkan hati, rasa kecil hati juga sebab semua nama media yang membuat liputan disebut di hadapan lebih 55, 000 penonton sebagai tanda penghargaan, tetapi malang sekali Harakah tidak ada dalam senarai untuk dihargai. Tapi tak apalah, penulis dan rakan-rakan yang lain bukan bekerja untuk konsert atau individu tetapi untuk jemaah. Minda penulis terbuka luas setelah tiga hari dua malam sebumbung dan satu bas dengan wakil media hiburan Kuala Lumpur. Walaupun pergerakan mereka bebas, penulis amat menyenangi mereka. Mesra, tidak sombong, tidak kedekut ilmu dan ringan tulang. Jika selama ini penulis hanya berkisar dengan dunia politik tetapi tiga hari itu penulis benar-benar bebas daripada politik sebaliknya hanya tertumpu pada hiburan...


Tiga hari berada dalam dunia hiburan, penulis mendapat sedikit rumusan. Setiap manusia di dunia ini mempunyai tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, jiran, sahabat handai dan yang paling penting kepada Allah SWT. Semoga dengan kelahiran, kehadiran serta populariti Mawi jangan sampai ada pihak yang mengambil kesempatan untuk tidak menunaikan tanggungjawab berdakwah kepada jiran, sahabat handai dan seluruh umat di dunia ini.


Jangan hendaknya tugas berdakwah itu diserahkan terus kepada populariti Mawi. Kita perlu menggunakan kesempatan tetapi jangan mengambil kesempatan. Kasian Mawi, dia budak baru belajar. - Saidatul Amani

dipetik dari harakahdaily.net

0 Comments:

Post a Comment

<< Home