Info Seni dan Budaya

Hiburan Alternatif Mestilah Dibangunkan Dalam Bentuk Industri

Persoalan hiburan dalam Islam sebenarnya merupakan satu persoalan yang rumit untuk ditangani oleh gerakan Islam, dan perkara ini diakui sendiri oleh para ulama' kontemporari seperti Dr. Yusoff Qardhawi sendiri yang menulis sebuah buku khusus mengupas persoalan hiburan di dalam Islam.

Persoalan hiburan mungkin kelihatan agak mudah kalau dibahaskan dari sudut hukum muzik dan nyanyian semata-mata. Sememangnya terdapat hujjah dan pandangan yang kuat di kalangan ulama’ yang mengharuskan hiburan muzik dan nyanyian, sekiranya ianya tidak melibat unsur-unsur maksiat, seperti senikata lucah, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan seumpamanya.

Pun begitu, hiburan tidak lagi wujud dalam bentuknya seperti dahulu di mana ianya adalah aktiviti sampingan untuk mengisi masa lapang dan aktiviti bersantai. Hiburan hari ini wujud dalam bentuk industri komersial yang bernilai ribuan juta ringgit.

Kalau kita bercakap tentang hiburan alternatif, kita juga mestilah juga memikirkan tentang 'industri'nya agar hiburan alternatif ini boleh terus beroperasi dan berkembang. Ianya tidak boleh hanya wujud dalam bentuk konsert sekali-sekala. Ini tidak akan menghasilkan sebuah industri.

Seorang penghibur alternatif (Islam) perlu terlibat sebagai penghibur profesional yang bergiat sepenuh masa dengan industri hiburan. Kalau tidak, masyarakat akan menganggap beliau sebagai penghibur picisan yang tidak berkualiti. Maka, ia tidak akan mampu membentuk 'alternatif' kepada keperluan para remaja terhadap hiburan.

Seorang penghibur juga perlu sumber kewangan tetap, dan mereka perlu hidup dalam kelas kehidupan yang tersendiri dalam dunia glamour yang diceburinya. Rakaman lagu dan persembahan konsert sahaja tidak mampu menampung keperluan hidup seorang artis. Kebanyakan artis hari ini bergantung dengan kontrak persembahan dengan kelab-kelab hiburan, kelab malam, dan sebagainya. Kontrak seperti ini menjanji pendapatan tetap jangka panjang dan lebih terjamin berbanding rakaman lagu dan persembahan konsert yang memerlukan modal yang tinggi dan risiko yang besar.

Mampukah para Islamis dan pendakwah membina platform alternatif kepada industri hiburan ini. Penghibur seperti Ramli Sarip dan M.Nasir mungkin dilihat sebagai artis yang berkeperibadian sederhana dan tidak melampau. Lagu-lagu mereka juga mempunyai nilai-nilai yang baik untuk diketengahkan kepada masyarakat. Tetapi Ramli Sarip dan M. Nasir juga terpaksa membuat persembahan di kelab-kelab hiburan dan kelab malam untuk menyara kehidupan keluarga mereka. Adakah mereka mempunyai tempat lain untuk menghibur yang mampu memberikan pendapat tetap kepada mereka sekiranya mereka mahu menghindarkan diri dari kehidupan 'lampu neon yang mengasyikkan'? Sekali-sekala bolehlah Kerajaan Kelantan buat konsert, tapi bukan tiap-tiap bulan.

Malangnya, industri hiburan dikuasai sepenuhnya oleh para hedonis, dan bukannya Islamis. Para penghibur terpaksa bergantung nasib dengan para hedonis ini untuk terus hidup sebagai artis. Berapa lama Mawi boleh bertahan sebagai penghibur alternatif tanpa bantuan para hedonis? Malah Mawi sendiri mungkin lahir dari industri hiburan yang hedonis seperti Akademi Fantasia. Tetapi kesediaannya untuk menyokong kewujudan hiburan alternatif yang lebih Islamik wajar disokong. Tetapi mampukah para Islamis menyediakan platform industri hiburan alternatif untuk para artis keluar dari dunia hiburan hedonis yang menguasai mereka?

Bagi saya ini satu cabaran yang amat besar dan memerlukan jiwa besar dari semua kelompok masyarakat Islam. -
Jamzuri

0 Comments:

Post a Comment

<< Home